Sunday 1 April 2018

Bina karier di rumah



Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan rahmat dan bimbinganNYA, usaha menulis dan berkongsi secara ‘online’ di buka jalannya melalui penyertaan bersama Akademi Bekerja Dari Rumah. Ia satu ruang yang saya berdoa agar dapat secara konsisten di manfaatkan sebagai wadah perkongsian ilmu serta refleksi buat diri. Moga Allah berkati dan redhai usaha ini.

Saya amat bersyukur lahir  dalam keluarga yang bersederhana dan menghidupkan budaya membangun kualiti diri agar berkumpul kembali di alam abadi, insyaALLAH. Ibu abah yang amat saya hormati dan kasihi memberi nama yang indah, Mardhiah binti Samsuri. Sebagai refleksi ayat Al-Qur’an Surah Al-Fajr ayat 28:


Maksudnya : "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)"

Saya lahir di Sudan. Lahir mengenal bahasa Arab sebelum bahasa ibunda. Alhamdulillah ia kelebihan yang amat saya syukuri dalam usaha hidup dengan panduan Al-Qur’an. Saya dibesarkan dengan pelbagai pendedahan. Pendedahan tentang memahami al-qur’an dari segi bahasa. Pendedahan pengurusan rumah. Pendedahan membangun keupayaan diri. Pelbagai pendedahan yang membentuk saya kini.

Saya menerima latihan yang cukup bermakna dari ibu dalam pengurusan rumah. Latihan yang diberikan memberi kemahiran dalam pembuatan kek, biskut dan roti yang menjadi hobi saya. Kemahiran ini memberi peluang untuk saya menjana pendapatan dengan mengadakan kelas pembuatan coklat mahupun kelas menghasilkan produk bakeri di rumah setelah berumahtangga.

Saya merupakan Graduan Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Kejuruteraan Bioteknologi. Saya memilih membina kerjaya di rumah, sebagai suri di hati insan istimewa anugerah Ilahi. Selepas bergraduasi, saya membuka pusat tuisyen selama dua tahun.

Bidang pendidikan dan pembangunan diri amat dekat dengan jiwa saya. Sebagai ibu kepada 5 orang anak, saya sentiasa berusaha memastikan ada waktu untuk menambah ilmu melalui bacaan mahupun mendengar rakaman berkisar pendidikan anak-anak, pembangunan diri, tafseer Qur’an serta perkembangan semasa ummat Islam.

Alhamdulillah dengan izinNya dapat membina kerjaya walau sepenuh masa di rumah bersama anak - anak. Dengan izinNya jua sudah dapat menjalani latihan untuk 'Certified HRDF trainer'. InsyaAllah sedang usaha gigih menyelesaikan latihan sebagai 'Life coach' untuk bidang kekeluargaan.

Sudah 13 tahun membina karier di rumah dengan membuat penelitian terhadap ayat Al - Qur’an dalam mengurus kehidupan serta mengolah modul yang dikongsikan secara 'offline'. Moga ini usaha membina tapak perkongsian secara 'online' pula.

Saya berhasrat untuk berkongsi pelbagai aspek berkaitan pembangunan diri, pendidikan anak serta refleksi dan tadabbur ayat cintaNYA.

Label di blog ini seperti berikut :


  • Kembara 114 adalah perkongsian berkait Al-Qur'an.
  • Kembara diri adalah modul pembangunan diri.
  • Kembara anak - anak fokus pada perkongsian aktiviti anak - anak.
  • Ilmu didik anak perkongsian berkait ilmu menjadi ibu bapa yang tenang hadapi cabaran harian didik anak.
  • Skil didik anak adalah perkongsian membina kemahiran ibubapa menangani anak - anak dengan penuh hemah dan bijaksana.

Moga usaha ini sentiasa diberkati dan melayakkan saya sentiasa hidup dalam dakapan redhaNYA.

No comments:

Post a Comment